Showing posts with label Epik India. Show all posts
Showing posts with label Epik India. Show all posts

Tuesday, 31 May 2016

1. Pengenalan

Tidak ada karya lain yang telah mempengaruhi segala aspek kehidupan penduduk India seperti Ramayana. Antara dua epik India, Mahabharata dan Ramayana, ternyata pengaruh Ramayana adalah lebih mendalam dan luas. Sebab utama untuk keadaan ini adalah kerana watak-watak utama Ramayana telah menjelajah hampir ke seluruh benua India termasuk Sri Lanka. Sungai di mana Sita mencuci pakaiannya, batu yang dipijak oleh Rama, gunung yang terbelah dua akibat tekanan Hanuman - demikian rakyat jelata India mengaitkan kampung kecil atau pekan mereka dengan Rama, Sita, Lakshmana, dan Hanuman

Selain itu, setiap watak Ramayana telah menjadi ideal masyarakat Hindu sejak beribu-ribu tahun. Setiap wanita Hindu mengidamkan suami seperti Rama. Setiap lelaki Hindu menginginkan isteri seperti Sita. Setiap adik-beradik cuba menjadi seperti Rama dan Lakshmana. Setiap orang mengharapkan sebuah kerajaan ideal seperti Ramarajya. Demikian, watak-watak Ramayana telah memberikan inspirasi tertinggi yang masyarakat Hindu ingin mengecapi dalam kehidupan mereka. Swami Vivekananda menjelaskan pengaruh mahakarya ini terhadap masyarakat Hindu seperti begini: 
"Rama ialah idola purba dari zaman kepahlawanan, jelmaan kebenaran dan moral, anak yang ideal, suami yang ideal, bapa yang ideal, dan terutamanya, raja yang ideal. Valmiki, telah memperkenalkan Rama ini kepada kita. Tidak ada bahasa yang lebih tulen, lebih suci, atau lebih indah, dan pada masa yang sama lebih ringkas daripada bahasa yang digunakan oleh penyair agung itu (Valmiki) yang menceritakan kisah hidup Rama. 
"Apakah yang hendak diperkatakan tentang Sita? Kamu boleh mencari dalam semua kesusasteraan dunia pada masa lampau, dan saya boleh memberi kepastian, kamu juga perlu menghabiskan semua kesusasteraan dunia pada masa akan datang, sebelum kamu boleh bertemu dengan seorang Sita yang lain. Sita adalah unik. Watak itu telah dipaparkan dengan sepenuhnya. Mungkin terdapat beberapa orang Rama. Tetapi, tidak pernah ada lebih daripada seorang Sita! Dia adalah wanita India sejati kerana semua idea-idea tentang seorang wanita yang sempurna telah lahir daripada kehidupan Sita. Selama beribu-ribu tahun, Sita masih menjadi pujaan setiap lelaki, perempuan, dan kanak-kanak di seluruh bumi Aryavarta (India). Sita yang menakjubkan akan ada selama-lamanya. Sita adalah jelmaan kesucian, kesabaran, dan kesengsaraan. Dia mengharungi kehidupan yang penuh penderitaan tanpa sedikit pun rungutan. Dialah isteri yang tetap suci, tetap tulen, idola masyarakat, dan idola dewa-dewi. Sita yang hebat akan sentiasa kekal sebagai Tuhan kebangsaan kita. Tidak perlu untuk penjelasan panjang kerana kita semua mengenalinya dengan amat baik. 
"Semua mitos kita mungkin akan lenyap. Kemungkinan Veda juga akan hilang. Bahasa Sanskrit kita juga mungkin akan hilang selama-lamanya. Namun, selagi lima orang Hindu masih berada di sini, yang mungkin bercakap dalam bahasa kasar sahaja, kisah Sita akan berada di sini. Tengoklah! Sita telah menjadi asas bangsa kita. Dia berada dalam darah setiap lelaki dan perempuan Hindu. Kita ialah anak Sita."


2. Sejarah Rama

Terdapat suatu perbezaan ketara antara konsep sejarah Barat dan Hindu. Dalam sejarah Barat, bukti untuk kejadian sesuatu perkara ialah tarikh atau masa, tempat atau lokasi kejadian itu berlaku adalah amat penting. Penemuan seketul batu, sebuah pasu atau sekeping duit syiling purba yang ditemui semasa menggali sesuatu tapak arkeologi adalah lebih tinggi nilainya sebagai 'keterangan'  atau 'bukti' sesuatu kewujudan atau kejadian berlaku. Oleh itu, sejarah Barat tidak memberi sebarang kepentingan sama ada sesuatu peristiwa telah meninggalkan kesan ke atas masyarakat masa depan. 

Sebaliknya, dalam sejarah Hindu, sesuatu kejadian atau perkara mesti meninggalkan kesan, sama ada baik atau buruk ke atas kehidupan dan kebudayaan generasi masa depan. Oleh itu, masyarakat Hindu tidak mengendahkan sama ada sesuatu perkara telah benar-benar berlaku atau seseorang benar-benar wujud.

Terdapat satu lagi perbezaan antara sejarah Barat dan Hindu. Dalam masyarakat Barat, masa dilihat sebagai suatu garisan linear yang mempunyai titik permulaan dan titik penamatan. Sebaliknya, masa dalam konteks Hindu ialah suatu kitaran, yang tidak permulaan atau penamatan. Itulah sebabnya dalam Hinduisme, masa dibahagikan kepada Yuga, Manvantara yang tidak terkira.

Atas sebab-sebab ini, ilmuwan Barat enggan menerima Rama sebagai seorang tokoh sejarah dan menganggap Ramayana sebagai suatu karya sastera yang penuh dengan mitologi.

Namun, kita tidak harus terburu-buru untuk membuat kesimpulan bahawa orang Hindu langsung tidak mengendahkan tentang sejarah dalam menghasilkan karya-karya mereka. Kedua-dua Ramayana dan Mahabharata dikelaskan sebagai 'Itihasa' ('maka, demikianlah berlaku') yang bermaksud, karya-karya ini adalah suatu penceritaan tentang sesuatu yang pernah berlaku dahulu. Malah, kedua-dua mahakarya ini juga penuh dengan data-data astronomi berhubung dengan peristiwa-peristiwa penting. Berdasarkan kepada kiraan astronomi, maka, suatu andaian boleh dicapai tentang tarikh atau masa sesuatu kejadian dalam mahakarya ini berlaku. Menurut suatu usaha begini, beberapa tarikh dalam Ramayana telah dihitung begini:(1) 

  • Kelahiran Rama - 4439 S.M.
  • Pembuangan negeri Rama - 4414 S.M.
  • Rama menaiki tahkta Ayodhya - 4400 S.M. 
Menurut satu pendapat lain pula:(2) 
  • Kelahiran Rama - 4342 S.M.
  • Perkahwinan dengan Sita - 4327 S.M.
  • Pembuangan negeri Rama - 4315 S.M.
  • Rama menaiki tahkta Ayodhya - 4301 S.M. 
Namun, riwayat Rama telah meninggalkan kesan yang amat mendalam dalam kehidupan orang Hindu, dan ini tidak dapat diubah dengan sebarang sejarah. 

..................................................................................................................................................................
(1) N.Mahalingam (Ed.), Ancient World - A New Look, Madras, Pub. International Society for the Investigation of Ancient Civilizations, 1981 
(2) D.S.Triveda, Indian Chronology, Bombay, Bharatiya Vidya Bhavan, 1963