Tuesday 31 May 2016

3. Valmiki

Maharishi Valmiki, penulis terkenal Ramayana ialah salah seorang yang wujud dalam riwayat Rama. Apabila Rama dibuang negeri, Rama mula merantau di hutan dan melawat asrama orang-orang alim. Salah sebuah asrama yang dikunjunginya ialah asrama Valmiki. Valmiki juga memberikan perlindungan kepada Dewi Sita yang dibuang negeri oleh Rama. Seterusnya, kedua-dua putera Rama mendapat didikan daripada Valmiki. 

Meskipun Valmiki merekodkan tentang riwayat Rama, beliau hanya menyebut sedikit sahaja mengenai dirinya sendiri. Ini sesungguhnya adalah suatu ciri keunikan penulis-penulis Hindu, terutamanya orang-orang alim. Hidup mereka diabdikan untuk Tuhan dan kebaikan dunia. Mereka tidak berminat untuk mendapatkan nama atau kemasyhuran.

Valmiki mendedahkan bahawa beliau adalah putera Rishi Pracetas (kadang-kadang dikatakan sebagai Varuna). Lava dan Kusa, pengikut-pengikutnya yang menyanyikan puisi epik ini di balai persidangan Rama, memperkenalkan diri mereka sebagai anak didik Bhagavan Valmiki, seorang Bhargava (bermaksud 'dari keturunan Rishi Bhrigu').

Namun, kisah hidup Valmiki telah disebut oleh penulis-penulis lain di dalam beberapa karya lain seperti Adhyatma Ramayana, Ananda Ramayana dan Bhagavata.

Valmiki ialah seorang dari keturunan rishi Bhrigu. Namun, takdirnya telah menyebabkannya berpisah dengan keluarganya semasa kecil. Beliau membesar sebagai Ratnakar dalam sebuah keluarga perompak. Ratnakar juga menjalani kehidupan sebagai perompak dan pembunuh. Akhirnya, hidupnya berubah apabila beliau bertemu dengan Saptarishi (Tujuh Rishi) atau Rishi Narada secara tidak sengaja. Dengan mengulangi Ramanama (nama Sri Rama), Ratnakar mencapai tahap kerohanian yang tertinggi dan menjadi seorang Maharishi. Oleh kerana, beliau bertapa selama bertahun-tahun di suatu tempat, sebuah busut anai-anai (valmika) telah menutupi badannya. Sejak itu, beliau mendapat nama 'Valmiki'. 

Asal-usul Ramayana diceritakan pada awal epik itu sendiri. Pada suatu ketika, Rishi Narada melawat asrama Valmiki. Selepas memberi hormat kepada Narada, Valmiki mengemukakan soalan ini: "Adakah sesiapa pada zaman itu yang mempunyai ke semua enam belas sifat-sifat terpuji dalam seorang manusia yang sempurna?" 

Apakah enam belas sifat-sifat terpuji yang menjadikan seorang manusia yang sempurna? Integrasi, keberanian, keadilan, kesyukuran, kebenaran, kesetiaan pada prinsip hidupnya, peribadi tanpa sebarang keburukan, prihatin terhadap semua kehidupan, pendidikan, kemahiran, kecantikan, perwatakan yang menyenangkan hati, kegagahan, keserian, kebolehan untuk mengawal kemarahan, kawalan diri, bebas daripada iri hati, dan kepahlawanan yang tidak gentar. 

Sebagai jawapan kepada soalan itu, Narada menceritakan secara ringkas Riwayat Sri Rama, seorang manusia yang sempurna.  

Asyik dengan ingatan Sri Rama, Valmiki pergi ke sungai Tamasa untuk bermandi. Di sana, beliau melihat seorang pemburu membunuh seekor burung jantan yang sedang bermain cinta dengan pasangannya. Tangisan sedih burung betina itu amat menyentuh hati Valmiki dan beliau menyumpah pemburu itu. Namun, sumpahnya keluar dalam bentuk sebuah 'Sloka', iaitu suatu rangkap berirama yang sempurna. Ini menyebabkan Valmiki sendiri kagum. 

Apabila Valmiki kembali ke asramanya, Dewa Brahma muncul di depannya dan mengarahkannya untuk mengarang riwayat Sri Rama dalam bentuk Sloka baru yang diucapkannya. Brahma juga memberikan rahmat-Nya bahawa Valmiki akan dapat 'melihat' semua peristiwa-peristiwa dan memahami maksud tersembunyi setiap kejadian berhubung dengan riwayat itu. Brahma juga memberikan kepastian bahawa sesuatu yang tidak benar tidak akan ada dalam karya itu.

Demikian, Valmiki mula mengarang mahakarya ini dan menamakannya 'Ramayana' (Jalan atau Riwayat Rama). Selepas menghasilkan mahakarya ini dalam bentuk puisi, Valmiki mengajarnya kepada Lava dan Kusa, putera kembar Rama dan Sita. Putera-putera ini menyanyikan Ramayana dan menjadikannya popular. 

Berita tentang persembahan Lava dan Kusa akhirnya sampai ke telinga Sri Rama. Baginda menjemput kedua-dua penyanyi muda itu ke istana baginda untuk menyanyikan Ramayana. Mendengar suara merdu mereka, Sri Rama duduk seperti sebuah patung sambil menitiskan air mata. Demikian, Ramayana bermula, heronya sendiri menjadi salah seorang pendengarnya. 


No comments:

Post a Comment