Tuesday 31 May 2016

4. Rumusan Cerita

BALAKANDA 

Bab pertama Balakanda bermula dengan Dasaratha, Maharaja kerajaan Kosala. Dasaratha memerintah dari Ayodhya, sebuah kota yang indah. Baginda seorang yang gagah perkasa, adil dan prihatin akan penduduknya. Baginda mempunyai segala-galanya kecuali seorang putera untuk meneruskan kerajaan baginda.

Atas nasihat guru baginda, Vasishta Muni, baginda melakukan upacara korban Aswamedha diikuti dengan upacara Putrakamesthi. Pada penghujung Putrakamesthi, seorang dewa muncul dalam perapian suci dengan sebuah mangkuk emas dan menyerahkannya kepada Dasaratha. Baginda mengagihkan bubur dalam mangkuk itu kepada tiga orang permaisuri utamanya, iaitu Kausalya, Sumitra dan Kaikeyi. 

Tidak lama kemudian, Kausalya selamat melahirkan Rama, Sumitra melahirkan kembar Lakshmana dan Satrughna, dan Kaikeyi melahirkan Bharata. Seluruh Ayodhya meraikan kelahiran putera-putera ini. Sejak kecil, Lakshmana amat rapat dengan Rama. Satrughna pula sentiasa bersama Bharata. 

Putera-putera Dasaratha mencapai usia remaja. Pada suatu hari, Rishi Viswamitra tiba di istana Dasaratha untuk memohon perlindungan. Dua orang raksasa, Maricha dan Subahu sering menganggu upacara korban yang dilakukan oleh Viswamitra. Putera-putera Rama dan Lakshmana mengikuti Viswamitra ke asramanya dan menumpaskan raksasa-raksasa itu. Viswamitra dapat menyempurnakan upacara korbannya. Dalam perjalanan pulang ke istana Ayodhya, mereka mempelajari pelbagai perkara daripada Rishi itu. 

Semasa melalui kerajaan Mithila, mereka bersinggah di istana Raja Janaka. Di sana, Rama berjaya merafak busur Siva dan mematahkannya. Kejadian ini disambut dengan gembira kerana Raja Janaka telah bertitah bahawa sesiapa yang berjaya mengangkat busur itu akan dikahwinkan dengan puteri baginda, Dewi Sita. Utusan di hantar ke Ayodya untuk menjemput Maharaja Dasaratha dan keluarga baginda. Janaka juga menawarkan puteri-puteri lain, Urmila kepada Lakshmana, Mandavi kepada Bharata dan Srutakirti kepada Satrughna. Selepas istiadat perkahwinan diraja ini, mereka kembali ke Ayodhya. Sebelum berangkat ke Ayodhya, Rama juga mengalahkan Parasurama, seorang Avatara Maha Vishnu.


AYODHYAKANDA

Beberapa tahun kemudian, Dasaratha memutuskan untuk menabalkan Rama sebagai Putera Mahkota. Seluruh kota Ayodhya menyambut khabar itu dengan penuh kegirangan. Namun, Manthara yang keji, tidak dapat menerima berita itu. Manthara meracuni fikiran Kaikeyi, permaisuri kegemaran Dasaratha. Bergantung kepada suatu janji yang diberikan oleh Dasaratha pada suatu ketika dahulu, Kaikeyi menuntut tahkta untuk putera baginda, Bharata. Kaikeyi juga menuntut agar Rama dibuang negeri selama empat belas tahun. Dasaratha, seorang yang sentiasa menepati janji baginda, tersekat dalam perangkap Kaikeyi. Semua rayuan baginda tidak dipedulikan oleh Kaikeyi. 

Apabila Rama mendapat tahu tentang permintaan Kaikeyi, tanpa teragak-agak, Rama bersetuju untuk mengurniakan tahkta kerajaan kepada Bharata dan meninggalkan Ayodhya. Sita dan Lakshmana, turut mengikuti Rama ke hutan. 

Perpisahan dengan putera tercinta baginda, mematahkan hati dan badan Dasaratha. Pada hari ke lima Rama dibuang negeri, Dasaratha mangkat ketika semua orang sedang tidur. 

Sementara itu, utusan dihantar untuk memanggil putera-putera Bharata dan Satrughna. Peristiwa yang berlaku di Ayodhya menjadikan Bharata murka dan baginda memutuskan hubungan dengan bondanya, Kaikeyi. Bharata juga enggan menerima tahkta Ayodhya dan bersumpah untuk membawa kembali Rama sebagai raja yang sah. Selepas melaksanakan istiadat kemangkatan ayahandanya, Bharata bertolak ke hutan untuk mencari Rama. 

Pertemuan Bharata dan Rama di bukit Citrakutha adalah suatu peristiwa yang amat mengharukan hati. Mendengar berita kemangkatan ayahandanya, Rama tidak dapat menahan air matanya. Bharata memujuk Rama untuk kembali ke Ayodhya dan menerima singgahsana kerajaan. Namun, Rama enggan kerana itu akan bermaksud bahawa Dasaratha tidak dapat menunaikan janjinya. Demi kebenaran, Rama harus menjalani hukuman pembuangan negeri selama 14 tahun. 

Akhirnya, Bharata mengambil paduka (alas kaki) Rama dan menabalkannya sebagai 'raja' Ayodhya. Bharata bersemayam di Nandigrama, sebuah kampung kecil, di luar Ayodhya dan menguruskan pentadbiran kerajaan sebagai pemangku Rama. 


ARANYAKANDA 

Rama, Sita dan Lakshmana menerokai jauh ke dalam hutan Dandaka. Dalam perjalanan ini, mereka bersinggah di asrama-asrama pertapa seperti Valmiki, dan Bharadvaja. Sepuluh tahun berlalu dengan aman dan bahagia. Rama dan Lakshmana menghapuskan ramai raksasa-raksasa kejam yang mengancam kehidupan lain dan ketenteraman di hutan Dandaka. 

Akhirnya, atas nasihat Agastya, putera-putera itu sampai di Pancavati, jauh di selatan hutan Dandaka. Pada suatu hari, Surpanakha, seorang raksasa betina yang hodoh mendekati pondok mereka. Surpanakha jatuh hati pada Rama dan ingin berkahwin dengannya. Rama menolak niat Surpanakha, dan dalam siri kejadian yang berikutnya, Lakshmana memotong hidung Surpanakha. Raksasa itu terbang dari tempat itu dengan bersumpah untuk membalas dendam. 

Atas aduan Surpanakha, raja raksasa di tempat itu, Khara dan 14000 tentera raksasa memulakan serangan ke atas Rama. Seorang diri, Rama menewaskan angkatan Khara. Semakin marah akan Rama, Surpanakha terbang ke  Lanka (kini Sri Lanka) untuk menghadap kakandanya, Ravana. Namun, Dengan amat licik, Surpanakha menghuraikan kecantikan Sita dan membangkitkan nafsu Ravana untuk memiliki Sita. 

Ravana, seorang raja yang zalim dan kaki perempuan, tidak dapat menahan dirinya. Dengan serta-merta, Ravana berangkat untuk berjumpa dengan Maricha. Ravana membuat rancangan untuk menculik Sita dan meminta Maricha membantunya. Maricha, yang pernah dikalahkan oleh Rama cuba untuk mengubah fikiran buruk Ravana tetapi tidak berjaya. Akhirnya, Maricha bersetuju dengan rancangan Ravana. 

Maricha menjelma sebagai seekor rusa emas dan berlari-lari di hadapan Sita. Kagum dengan kecantikan rusa emas itu, Sita mendesak Rama untuk menangkapnya. Apabila Rama cuba menangkapnya, rusa itu melarikan diri jauh ke dalam hutan. Akhirnya, Rama melepaskan anak panahnya dan menumpaskan rusa emas itu. Sebelum mati, Maricha menyahut, 'Oh Sita! Oh Lakshmana!' dalam suara Rama. Mendengar jeritan Rama, Sita mendesak Lakshmana untuk pergi menyelamatkan kakandanya. Lakshmana cuba meyakinkan Sita bahawa itu mesti suatu muslihat musuh mereka. Namun, akhirnya, Lakshmana terpaksa akur pada permintaan Sita.

Sebaik sahaja Lakshmana meninggalkan pondok mereka, Ravana muncul dalam rupa seorang alim. Dengan helah meminta sedekah, dia menculik Sita dan membawanya ke Lanka. Jatayu, seekor burung helang tua bertempur dengan Ravana untuk menyelamatkan Sita. Ravana memotong kedua-dua kepaknya dan menumpaskannya.

Apabila Rama dan Lakshmana kembali ke pondok Panchavati, mereka mendapati Sita telah hilang. Dalam percubaan mencari Sita, mereka berjumpa dengan Jatayu dalam keadaan tenat. Jatayu menceritakan bahawa Sita telah diculik oleh Ravana, Raja Lanka dan menghembuskan nafas akhirnya. Rama melaksanakan upacara kematian Jatayu sebelum meneruskan pencarian Sita.

Semasa mencari Sita, putera-putera itu bertembung dengan Kabandha, seorang raksasa dan membunuhnya (dan dengan itu, membebaskannya daripada suatu sumpahan). Atas nasihat Kabandha, mereka bertemu dengan Sabari, seorang pertapa wanita. Sabari menasihatkan mereka untuk menuju ke bukit Rishyamuka dan berjumpa dengan seorang vanara bernama Sugriva.



KISKINDHAKANDA

Sugriva, seekor vanara (monyet) dari keturunan diraja Kishkindha berada di bukit Rishyamuka sebagai pelarian. Abangnya, Vali telah merampas isterinya dan membuangnya dari kerajaan mereka. Rama berkenalan dengan Sugriva dan menjalin persahabatan. Rama berjanji untuk mendapatkan kembali hak Sugriva, sementara Sugriva pula berjanji untuk membantu mencari Dewi Sita.

Rama memenuhi janjinya dengan menewaskan Vali dan mendapatkan kembali kerajaan Sugriva. Selepas menjadi raja Kishkindha, Sugriva mengarahkan pasukan vanara untuk mencari Dewi Sita. Satu pasukan tentera di bawah pimpinan Angada, putera mahkota Kishkinda dan Hanuman bertolak ke arah selatan. Sampati, abang Jatayu memberikan maklumat bahawa Ravana telah membawa Sita, merentasi laut ke Lanka. Pasukan vanara mula memikirkan cara-cara untuk merentasi lautan itu.



SUNDARAKANDA

Selepas perbincangan, akhirnya, Hanuman diberikan tugas untuk merentasi lautan itu. Dengan kesaktian yoganya, Hanuman membesarkan dirinya dan merentasi lautan itu dalam satu lompatan. Selepas mencari di seluruh pelusuk Lanka, akhirnya, Hanuman menemui Sita di taman Asoka. Hanuman memperkenalkan dirinya dan menyerahkan cincin Rama kepada Sita. Sebagai balasan, Sita memberikan cudamani (perhiasan rambutnya) untuk dibawa kepada Rama, Walaupun Hanuman menawarkan untuk membawanya pulang, Dewi Sita enggan kerana sepatutnya Rama yang datang untuk membebaskannya. Sebelum kembali kepada Rama, Hanuman menyebabkan kemusnahan besar kepada kota Lanka.

Sebaik sahaja Hanuman membawa berita tentang penemuan Dewi Sita, Rama mengarahkan Sugriva untuk mengumpulkan pasukan tenteranya dan bertolak ke semenanjung selatan.



YUDDHAKANDA

Ketika tentera vanara sedang berkhemah di tepi pantai dan merancang strategi untuk merentasi lautan itu, Vibhisana, adik Ravana tiba dari Lanka. Vibhisana, seorang yang mulia telah menasihatkan Ravana untuk mengembalikan Dewi Sita kepada Rama. Ravana yang angkuh dengan kekuatannya, enggan untuk menerima nasihat dan menghina Vibhisana di khalayak ramai. Vibhisana dan empat orang sahabatnya telah meninggalkan Lanka dan berganding bahu dengan Rama.

Selepas membina sebuah jambatan batu, pasukan Rama merentasi lautan itu. Rama menghantar utusan kepada Ravana untuk menyerahkan Sita dan dengan itu, mencapai kedamaian. Ravana masih berdegil dan mencabar Rama untuk berperang dengannya.

Akhirnya, satu pertempuran yang dahsyat tercetus. Hanuman berterbang ke pergunungan Himalaya untuk membawa bukit Sanjivani. Herba sanjivani menghidupkan semula Lakshmana dan askar-askar vanara yang terkorban. Dalam pasukan Ravana pula, semua pahlawan-pahlawan hebatnya, seperti Kumbhakarna dan Indrajit (putera Ravana) telah terkorban. Akhirnya, Rama juga menumpaskan Ravana dan membunuhnya.

Kematian Ravana disusuli dengan upacara penabalan Vibhisana sebagai raja Lanka. Kemudian, Rama bertemu dengan Sita selepas Sita menjalani ujian di atas perapian untuk membuktikan kesuciannya. Ketika ini, empat belas tahun pembuangan Rama telah sempurna. Rama, Sita dan Lakshmana kembali ke Ayodhya dengan menaiki sebuah kereta pedati terbang.

Di Ayodhya, Rama ditabalkan sebagai Raja dan Sita sebagai Permaisuri. Pemerintahan Rama yang dikenali sebagai Ramarajya membawa keamanan dan kebahagiaan kepada semua penduduknya.



UTTARAKANDA

Beberapa tahun kemudian, pada suatu hari, Rama mendengar suatu berita buruk. Seorang dua penduduk Ayodhya telah mengutuk perbuatan Rama menerima kembali Sita yang telah menetap di rumah Ravana. Terperanjat dengan tomohan itu, Rama memutuskan untuk menghantar Sita ke hutan. Atas titah Rama, Lakshmana membawa Sita ke hutan dan meninggalkannya di sana.

Valmiki Muni menemui Sita yang hamil dan memberinya perlindungan di asramanya. Beberapa lama kemudian, Sita melahirkan putera kembar yang dinamakan sebagai Lava dan Kusa. Atas didikan Valmiki, mereka membesar di asrama itu.

Beberapa tahun kemudian, Rama menjalankan upacara korban Aswamedha di hutan Naimisha. Valmiki membawa Lava dan Kusa ke upacara itu untuk menyanyikan Ramayana yang dikarangnya. Rama menyedari bahwa Lava dan Kusa adalah putera-puteranya sendiri. Rama meminta Valmiki untuk membawa Sita ke istananya dan agar Sita membuktikan kesuciannya sekali lagi. 

Buat kali kedua, Sita berjalan di atas perapian. Selepas berjaya membuktikan kesuciannya, Sita berdoa kepada Bhudevi, Dewi Bumi untuk mengambilnya semula. Bhudevi muncul dari perut bumi dan membawa Sita bersama-samanya. Demikian, berakhir hidup Sita yang penuh penderitaan.

Tempoh kehidupan Rama di bumi mencapai hujungnya. Kalapurusha (Jelmaan Masa) tiba di Ayodhya untuk mengingatkan Rama bahawa masa untuk mengakhiri hidupnya telah tiba. Disebabkan takdir, Rama terpaksa menghalau Lakshmana. Devendra (Raja Syurga) muncul dan membawa Lakshmana ke syurga.

Selepas menyerahkan kerajaan Ayodhya kepada Lava dan Kusa, Rama bertolak ke sungai Sarayu untuk mengakhiri hidupnya. Ramai penduduk Ayodhya yang setia pada Rama mengikut bersamanya ke sungai Sarayu. Dengan merahmati dan memberikan kebebasan kepada mereka, Rama kembali ke kediaman abadi-Nya. 


No comments:

Post a Comment