Tuesday 31 May 2016

5. Tamadun & Kebudayaan

Tamadun dan kebudayaan tidak semestinya wujud bersama-sama. Sesuatu masyarakat yang bertamadun tidak semestinya mempunyai kebudayaan yang tinggi. Ketamadunan menjadikan kehidupan di dunia lebih selesa dan senang. Sebaliknya, kebudayaan mengajar kita untuk menggunakan semua benda-benda baik yang diberikan oleh tamadun untuk kebaikan berpanjangan semua orang. Ada kalanya, ketamadunan turut membawa bersama-samanya pelbagai kejahatan dan maksiat. Sebaliknya, kebudayaan, yang mengutamakan nilai-nilai murni dan etika, serta memberikan penekanan kepada kemajuan yang holistik dapat mengurangkan kesan-kesan buruk ketamadunan dan juga meningkatkan tamadun itu ke suatu tahap yang mulia. 

Ramayana oleh Valmiki memberikan kita kedua-dua aspek ini. Mahakarya ini memperkenalkan kita kepada tiga ketamadunan dan kebudayaan yang tipikal tetapi berlainan iaitu Ayodhya, Lanka dan Kishkindha.


AYODHYA

Ayodhya ialah sebuah tamadun yang telah mencapai kebudayaan yang tertinggi. Valmiki memberikan deskripsi tentang kota Ayodhya di bawah pemerintahan Dasaratha dan kemudiannya di bawah Rama.

Kota ini penuh dengan istana-istana yang mengagumkan. Jalan-jalannya luas dan bersih. Kubunya kuat dan penuh dengan semua kelengkapan pertahanan. Pasukan tentera Ayodhya sentiasa bersedia untuk menghadapi medan pertempuran. Mereka berpegang kuat kepada Yuddhadharma atau etika peperangan. Penduduk Ayodhya hidup dengan aman, selesa dan gembira. Pembelajaran dan penyebaran ilmu Veda serta pelaksanaan upacara agama berjalan tanpa sebarang halangan.

Raja memerintah kerajaannya dengan penuh efisyen dibantu oleh para menteri dan penasihat yang bijak. Para rishi menjadi penasihat dan sami diraja. Satya (kebenaran) dan Dharma (Kebaikan) menjadi tunjang kerajaan dan kehidupan setiap penghuni Ayodhya. Tugas dan tanggungjawab empat varna (brahmin, kshatriya, vaisya, dan sudra) dan empat asrama (brahmachari, grihasta, vanaprastha, dan sannyasa) diikuti dengan ketat. 

Kemewahan duniawi, keseronokan jasmani, dan kekuasaan langsung tidak menggoda putera-putera Ayodhya. Asas kehidupan mereka ialah Dharma dan kebaikan orang lain. Dasaratha yang terikat dengan janjinya kepada Kaikeyi, Rama yang serta-merta mengikuti titah ayahandanya untuk melepaskan haknya dan pergi ke hutan, kesediaan Lakshmana dan Sita untuk mengikuti Rama ke hutan, percubaan Bharata untuk membawa balik Rama, semua ini menunjukkan suatu masyarakat yang berbudaya tinggi.   


LANKA

Kerajaan Lanka di bawah pemerintahan Ravana menjadi sebuah kota mewah yang menakjubkan. Namun, hampir ke semua kemewahan dan kekayaan kota ini adalah hasil daripada rompakan atau rampasan peperangan. Kota ini penuh dengan istana-istana, bangunan-bangunan besar, dan taman-taman yang indah. Penduduknya berbadan besar dengan penampilan yang mengerunkan. Perbuatan kanibalisme dan meminum arak  amat berleluasa. Golongan Brahmin di Lanka lebih cenderung kepada upacara-upacara sihir dan ilmu hitam. Kebanyakan kuil di Lanka adalah untuk dewa-dewi yang menakutkan seperti Badrakali. Ravana dan puteranya, Indrajit menyembah Badrakali di sebuah tempat tersembunyi bernama Nikumbhila untuk mendapatkan kemenangan dalam peperangan dan senjata-senjata ajaib. Ravana dan Indrajit juga mahir dalam Maya Yuddha, peperangan yang menggunakan ilmu sihir dan kuasa ajaib untuk memperdayakan musuh. Satu-satunya matlamat hidup penduduk Lanka ialah untuk menikmati keseronokan duniawi.

Ravana adalah seorang raja yang amat berkuasa, berpendidikan dan berkebolehan. Ravana juga dapat menjalani disiplin agama yang rumit. Namun, kegilaan seks yang tidak terkawal, keegoan dan sifat mementingkan diri sendiri telah membawa kepada kekalahan Ravana, kejatuhan dan akhirnya kemusnahkan Lanka. 

Satu-satunya penduduk Lanka yang mengikuti Dharma ialah Vibhisana. Lanka telah selamat daripada kemusnahan sepenuhnya disebabkan Vibhisana. 



KISKINDHA

Kota ini digambarkan sebagai sebuah gua. Kemungkinan ia terletak di kawasan pergunungan dan jalan ke kota ini menerusi sebuah gua. Kota ini amat luas dengan bangunan-bangunan yang cantik dan dipenuhi dengan segala keselesaan seperti suatu tamadun yang maju. 

Namun, Valmiki telah menggambarkan penduduk Kiskindha sebagai 'vanara' atau monyet-monyet yang mempunyai sifat-sifat monyet. Jika kita mengaji seluruh Ramayana, kita boleh merumuskan bahawa 'vanara' ialah suatu perkataan simbolik. Perkataan 'va-nara' mungkin bermaksud, 'atau, mungkin dia adalah seorang manusia'. Bentuk muka masyarakat ini mungkin serupa dengan rupa monyet. Namun, oleh kerana mereka bercakap dalam bahasa manusia dan golongan perempuan tidak mempunyai ekor, perempuan-perempuan Kiskindha juga dihuraikan sama seperti golongan perempuan dalam spesis manusia. Maka, kita boleh merumuskan bahawa vanara adalah masyarakat yang hidup di kawasan pergunungan, perhutanan dan persisiran sungau. Mungkin mereka mewarnai diri mereka seperti monyet dan memakai kain yang panjang di belakang seperti ekor. Atau mungkin, monyet adalah simbol negara mereka. 

Penduduk Kiskindha mempunyai badan yang kuat dan ramai dalam kalangan mereka mahir dan seni gusti. Mereka menggunakan gigi dan kuku mereka serta beberapa peralatan daripada batu atau dahan ketika bertempur. Masyarakat vanara juga nampaknya tidak mahir dalam penggunaan senjata buatan. 

Penduduk Kiskindha juga mengamalkan pemakaian yajnopavita (benang suci) dan melakukan upacara ritual sandhya. Namun, adat perkahwinan dan hubungan lelaki-perempuan masyarakat ini tidaklah begitu beretika tinggi seperti dalam masyarakat Ayodhya. Kedua-dua lelaki dan perempuan vanara juga mempunyai ketagihan minuman keras. 

Tamadun Kiskindha adalah jelas sebuah tamadun yang berada dipertengahan tamadun Ayodhya dan Lanka. 

Kota Kiskindha terselamat daripada kemusnahan disebabkan Sugriva yang berserah kepada Rama. 


KEROHANIAN lwn KEBENDAAN
Seperkara perlu diingati sebelum membaca atau mengaji mahakarya ini. Penulis mahakarya ini, Valmiki ialah seorang Rishi yang telah melepaskan segala nikmat duniawi dan menjalani kehidupan rohani demi kebaikan dunia dan untuk mencapai Tuhan. Matlamat utama mahakarya Valmiki ialah untuk menunjukkan bahawa evolusi moral dan rohani adalah kemajuan sebenar manusia dan bukannya pencapaian material atau kemajuan saintifik. Kemajuan sebenar manusia adalah di dalam dirinya sendiri dan bukan di luar. Di luar, seseorang mungkin kelihatan kasar, primitif dan kolot, tetapi di dalam, mungkin dia mempunyai moral dan etika yang tinggi. Watak-watak seperti Hanuman, Jambavan, dan Jatayu nampaknya memberikan kita mesej ini. Meskipun dari segi penampilan, watak-watak ini kelihatan seperti binatang, namun mereka penuh dengan sifat-sifat terpuji seperti kesetiaan, persahabatan, kesanggupan untuk berkorban demi kebaikan orang lain. Satu lagi kemuliaan watak-watak ini ialah kebolehan mereka untuk mengenali dan menghargai kebaikan, kebenaran dan kerohanian.

Sebaliknya, seseorang yang lain, mungkin kaya-raya, berdarah bangsawan, mahir dalam segala seni dan sains, dan berpendidikan tinggi, tetapi sikapnya mungkin masih primitif dan seperti binatang. Inilah gambaran yang diperolehi daripada watak-watak Ravana dan Indrajit. 

Falsafah Ramayana, secara ringkas ialah bahawa kekayaan, kekuatan fizikal atau ketenteraan tidak boleh menyelamatkan seseorang individu atau sesebuah negara. Sesungguhnya kepercayaan serta amalan Satya (kebenaran) dan Dharma (Kebaikan) yang melindungi manusia dan negara! 

Mahakarya ini memberikan kita semua ideal-ideal dalam  sebuah masyarakat dan kebudayaan yang tertinggi. Rama ialah seorang lelaki, suami, anak, abang, sahabat, dan raja atau pemerintah yang ideal. Dewi Sita ialah seorang wanita ideal yang tiada tandingan dan menjadi simbol kewanitaan yang mulia. Keluarga Dasaratha menjadi sebuah keluarga yang ideal di mana setiap ahli mengutamakan kebaikan orang lain. Ramayana juga memberikan adik-beradik ideal, kawan-kawan ideal dan pekerja ideal. Contoh sebuah kerajaan yang ideal diberikan melalui Ramarajya. 

Dalam kata lain, mahakarya ini memberikan segala idea dan ideal kehidupan yang mulia yang boleh dicontohi dan diikuti oleh seluruh umat manusia dalam semua zaman. Ramayana bukan sebuah mitologi yang penuh dengan cerita dongeng. Ia adalah khazanah ilmu ketamadunan dan kebudayaan tertinggi yang telah mempengaruhi dan memperkayakan arus pemikiran, kreatif, agama dan kerohanian dunia. 

No comments:

Post a Comment